32,440 kanak-kanak bertaraf bukan bukan warganegara di seluruh negara

13 03 2009

KUALA LUMPUR 11 Mac – Seramai 32,440 kanak-kanak bertaraf bukan warganegara telah dikesan membanjiri di seluruh negara ini dari tahun 2005 hingga 2008.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, bagi membolehkan kanak-kanak tersebut dipertimbangkan taraf kewarganegaraan, ibu bapa atau penjaganya perlu mengemukakan permohonan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“JPN telah memudahkan urusan melalui pendekatan seperti mengadakan Program MyDaftar dan operasi bergerak bertujuan menerima permohonan dokumen pengenalan diri termasuk permohonan kewarganegaraan di kawasan yang dikenal pasti.

“JPN akan membuka kaunter perkhidmatan di Ibu Pejabat JPN Putrajaya dan negeri pada Sabtu dan Ahad mulai pukul 8 pagi hingga 1 petang, membuka kaunter perkhidmatan pada waktu rehat termasuk Jumaat,” katanya dalam jawapan bertulis terhadap soalan Teo Nie Ching (DAP-Serdang) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Dalam hal lain, Syed Hamid berkata, kerajaan telah meluluskan sebanyak 8,622 permohonan permit masuk rakyat asing ke negara ini dalam tempoh tujuh tahun bermula 2001.

Katanya, pemohon dari Thailand merupakan yang terbesar iaitu seramai 2,439 orang, Indonesia (1,955), India (1,785), Singapura (846), Filipina (578) dan negara-negara lain (1,019).

Menurut beliau, bagi tempoh yang sama, sejumlah 3,524 permohonan kewarganegaraan telah diluluskan iaitu sebanyak 1,873 dari Indonesia, India (425), Kemboja (416), Singapura (206), Thailand (146), China (141), Filipina (64) dan negara-negara lain (253).

“Jawatankuasa Pasukan Petugas ditubuhkan pada 1 November 2008 dengan tujuan utama menyelesaikan permohonan permit masuk dan kewarganegaraan yang tertunggak.

”Bagi yang telah memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan, ia akan diselesaikan selewat-lewatnya pada Jun 2009,” katanya menjawab soalan Tan Ah Eng (Gelang Patah-BN) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Sementara itu, bagi menjawab soalan tambahan Ah Eng mengenai permohonan penduduk tetap (PR) dan warganegara bagi isteri warga asing yang telah mengemukakan permohonan lengkap melebihi 10 tahun tetapi masih belum mendapat jawapan, Syed Hamid menjelaskan:

”Prosesnya adalah mudah iaitu sekiranya suami adalah warganegara, maka isterinya layak memohon selepas tinggal di negara ini melebihi dua tahun.

“Kalau salah seorang daripada suami isteri warganegara meninggal dunia, dia tidak sepatutnya ada masalah dan anaknya daripada salah satu ibu bapanya warganegara, maka dia secara automatik mempunyai hak menjadi warganegara,” katanya.

Tambah beliau, setiap rakyat yang mempunyai sebarang masalah berbangkit boleh merujuk kepada Jabatan Pendaftaran Negara untuk diselesaikan.

“Untuk perhatian, jumlah permohonan tertunggak sehingga 25 Februari lalu adalah sebanyak 18,834 dan jumlah tertunggak permit masuk bagi tempoh yang sama pula ialah sebanyak 24,947.

“Jadi, kita akan mengambil langkah perlu bagi mengatasi semua masalah PR, permit masuk dan kewarganegaraan,” katanya

Berita dipetik dari Utusan.


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: