Tanah gelongsor ancam rumah

23 02 2009

~ Oleh NAZMIL.NASIRUDDIN


PENDUDUK menunjukkan sistem pengairan yang tidak sempurna yang menyebabkan masalah banjir di Taman Desa Karunmas, Cheras kepada Teo Nie Ching (tengah).

CHERAS 22 Feb. – Aduan telah dibuat banyak kali, namun tiada jawapan balas atau tindakan yang dapat meredakan kegelisahan penduduk Taman Desa Karunmas.

Begitulah dakwaan penduduk terhadap pemaju taman perumahan itu, yang menurut mereka seperti tidak serius dengan masalah tanah gelongsor yang mereka hadapi.

Tanah gelongsor itu berlaku pada kawasan cerun yang hampir dengan belakang beberapa rumah di situ dan tinjauan Utusan Malaysia mendapati satu-satunya usaha yang telah dilakukan setakat ini hanyalah menutup kawasan berkenaan dengan hamparan plastik untuk mengelakkannya daripada ditimpa hujan.

Bagi pengerusi persatuan penduduk, Nasrul Ahmad Sufian, pihak pemaju tidak memberikan tindak balas seperti yang dimahukan penduduk.

“Sikap pemaju ini amatlah dikesali kerana tidak dapat membantu penduduk yang terlibat dengan masalah tanah menggelongsor ini.

“Apabila hujan, air membawa sama tanah sedikit demi sedikit masuk ke dalam rumah penduduk,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Teoh, 57, memberitahu masalah ini sudah banyak kali diutarakan kepada pemaju tetapi kurang mendapat perhatian.

“Pihak pemaju hanya mendiamkan diri dan tidak mengambil tindakan drastik terhadap masalah ini.

“Walaupun rumah saya tidak terlibat dengan masalah ini, tetapi saya risau akan keselamatan jiran-jiran saya yang menghadapi risiko ini,” katanya yang sudah sembilan tahun menetap di taman ini.

Selain daripada masalah gelinciran tanah ini, kawasan perumahan ini juga mengalami banjir kilat.

Seorang penduduk Suhaimi Mohd. Noor, 45, berkata, punca banjir ini berlaku disebabkan longkang yang tersumbat.

“Aliran air terutamanya ketika hujan lebat berpatah balik daripada mengalir ke parit besar.

“Ini telah menyebabkan berlaku banjir dan menjejaskan beberapa buah rumah di taman perumahan ini.

“Kadang-kadang air naik dengan cepat dan menyebabkan peralatan di dalam rumah rosak,” katanya.

Jelasnya, keadaan akan menjadi lebih teruk sekiranya ketika banjir berlaku dan tiada pula orang di rumah untuk menyelamatkan barang masing-masing.

Suhaimi berharap masalah-masalah ini tidak berlarutan dan tindakan yang sepatutnya dapat diambil dengan kadar segera.

Sementara itu, Ahli Parlimen Serdang, Teo Nie Ching, yang melawat ke tempat kejadian baru-baru ini berharap pihak pemaju menyelesaikan masalah ini dengan segera.

“Bagi mengatasi masalah ini, penduduk mahu agar tindakan segera dilakukan oleh pihak pemaju dengan mengadakan tembok penahan.

“Ini adalah untuk mengelakkan tanah daripada terus menggelongsor dan mengenai rumah penduduk,” katanya kepada pemberita.

Katanya, penduduk mendesak masalah ini diambil tindakan segera oleh pihak pemaju kerana mereka bimbang masalah yang lebih rumit pula berlaku.

Berita dipetik dari Utusan.


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: