[Dec 18] Perbahasan di Parlimen mengenai Rang Undang-undang Saraam Hakim (Pindaan)(No.2) 2008

25 12 2008

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Ya, Yang Berhormat Serdang.

6.23 ptg.

Puan Teo Nie Ching [Serdang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya juga ingin menyertai dalam perbahasan tentang rang undang-undang ini. Seperti Yang Berhormat Kubang Kerian kata tadi memang bukanlah satu masalah kepada kami untuk menyokong rang undang-undang. Sebenarnya kami akan menyokong apa-apa usaha kerajaan untuk meningkatkan jumlah hakim-hakim dalam negara kita dan kita juga akan menyokong segala usaha kerajaan untuk mendapat hakim-hakim yang bermutu tinggi kerana kes-kes tertunggak, backlog cases dengan izin di dalam negara kita adalah begitu serius.

Saya ambil contoh seperti di Mahkamah Tinggi Shah Alam, seorang hakim perlu mengadili 5,000 kes setahun. Itu satu jumlah yang begitu tinggi. Jadi adalah begitu serius pada hari ini bahawa memanglah kita memerlukan jumlah hakim yang lebih ramai. Kita perlu mendapat hakim yang lebih ramai, yang lebih bermutu tinggi dan seperti Yang Berhormat Menteri cakap semalam; bahawa kita tidak ada hakim orang Cina, orang India dan orang Singh yang mencukupi kerana pendapatan yang lumayan di private sector, di arah penswastaan adalah lebih tinggi.

Jadi memanglah kita akan menyokong segala usaha kerajaan untuk membaiki pendapatan ataupun gaji bagi semua hakim. Akan tetapi sebenarnya backlog cases dengan izin atau kes-kes tertunggak yang begitu serius di negara kita bukan sahaja diakibatkan oleh kerana kita kekurangan hakim. Saya mengambil contoh kadangkala pentadbiran yang tidak begitu rasional dan munasabah juga akan menseriuskan isu ini.

Saya mengambil satu contoh pada 4 Disember tahun ini dua orang hakim Mahkamah Tinggi dan Pesuruhjaya Kehakiman telah menerima arahan perpindahan, transfer order dengan izin pada 4 Disember 2008 dan mereka seharusnya melaporkan diri di tempat yang baru pada 1 Januari 2009. Pada tahun yang lepas, 11 orang hakim juga menerima satu arahan perpindahan pada 12 Januari 2007 dan mereka seharusnya melaporkan diri di tempat yang baru pada 15 Februari 2007.

Memanglah perpindahan hakim dari satu mahkamah ke satu mahkamah adalah wajar dan diperlukan untuk meningkatkan sistem mahkamah dan kelancaran kes-kes perbicaraan. Akan tetapi notis yang begitu pendek ini akan menyebabkan kesulitan dan kekacauan yang sebenarnya boleh dielakkan sekiranya notis yang lebih panjang adalah diberi. Sebagai contoh, mengenai arahan perpindahan yang terbaru ini notis ini adalah kurang daripada satu bulan dan notis yang begitu pendek ini telah menyebabkan bahawa hakim-hakim dan pesuruhjayapesuruhjaya kehakiman mereka tidak dapat menyelesaikan kes-kes part-heard mereka.

Tuan Yang di-Pertua, arahan perpindahan itu adalah dikeluarkan pada bulan Disember dan bulan Disember adalah sebenarnya cuti mahkamah dengan izin court vacation di mana tiada prosiding yang akan dijalankan di dalam mahkamah. Dengan erti kata lain hakim-hakim ataupun pesuruhjaya-pesuruhjaya kehakiman yang terlibat tidak ada peluang untuk menyelesaikan kes-kes tertunggak mereka kerana mereka melaporkan diri mereka di tempat baru pada 1 Januari 2009.

Notis perpindahan yang begitu pendek adalah tidak adil sekali kepada orang yang kena tuduh di mana perbicaraan kes mereka telah bermula tapi belum selesai. Hanya hakim-hakim yang telah mendengar, telah melihat secara sendiri OKT-OKT ataupun saksi-saksi perbicaraan yang boleh menilai kredibiliti dan kebolehpercayaan orang-orang itu. Hakim yang baru mereka tidak berpeluang untuk melihat atau mendengar daripada OKT-OKT ataupun saksi-saksi itu, mereka memang tidak dapat menilai perilaku OKT itu ataupun saksi itu. Sekiranya kita memanggil hakim-hakim yang dahulu mengendali kes itu untuk pulang ke mahkamah asal untuk mendengar kes itu, itu adalah satu pembaziran wang dan masa juga.

Jadi pada pendapat saya arahan perpindahan sepatutnya memberi notis yang tidak kurang daripada tiga bulan. Lebih baik sepanjang enam bulan kepada hakim-hakim yang berkenaan supaya mereka mempunyai satu peluang untuk menyelesaikan semua kes part-heard mereka. Pada pendapat saya, notis-notis yang begitu pendek ini telah menyebabkan kes kita mempunyai lebih banyak kes-kes tertunggak dalam negara.

Jadi saya memohon supaya Yang Berhormat Menteri boleh memberi perhatian terhadap kes-kes macam ini. Sekian sahaja. Terima kasih.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Ya, terima kasih Yang Berhormat. Sila Menteri menjawab.

6.29 ptg.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri [Dato’ Seri Mohamed Nazri bin Abdul Aziz]: Tuan Yang di-Pertua, saya ucapkan banyak terima kasih kepada tiga Ahli Yang Berhormat yang berucap. Yang Berhormat Wangsa Maju, Yang Berhormat Kubang Kerian dan juga Yang Berhormat Serdang.

Yang Berhormat Wangsa Maju cakap macam rekod. Dia pusing-pusing. Dalam setengah jam empat kali benda yang sama. Yang Berhormat Kubang Kerian tidak apalah saya faham 10 hari tak dapat ada Dewan gian bercakap. Saya beri peluanglah tapi yang terbaik sekali Yang Berhormat serdang yang memberikan saya satu cadangan yang cukup baik, di mana kalau dalam soal transfer ini memang betullah mendatangkan banyak masalah kalau ianya diberikan notis yang cepat sangat.

Oleh sebab itu saya kira contribution yang terbaik sekali daripada Yang Berhormat Serdang. Terima kasih banyak-banyak. Walau bagaimanapun, apa yang dibangkitkan berkenaan isi kandungan dalam ucapan ini sebenarnya memerlukan notis diberikan kepada saya untuk saya menjawab secara tepat apakah tindakan diambil, apa yang sebab tidak diambil.

Namun saya kira Yang Berhormat, boleh saya bagi keyakinan bahawa sebaik saja Hansard ini siap mencatatkan apa yang telah dibangkitkan, insya-Allah saya akan sampaikan kepada pihak-pihak yang berkenaan supaya tindakan diambil. Mungkin dalam sesi yang akan datang, saya akan sedikit sebanyak dapat maklumat tindakan balas yang telah diambil oleh pihak-pihak yang disentuh sebentar tadi dan saya ucapkan terima kasih di atas sokongan kepada rang undang-undang ini.

Timbalan Yang di-Pertua [Datuk Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar]: Ahli-ahli Yang Berhormat, sekarang saya kemukakan masalah kepada Majlis bagi diputuskan. Masalahnya ialah rang undang-undang ini dibaca kali yang kedua sekarang.

Masalah dikemuka bagi diputuskan; dan disetujukan.

Rang undang-undang dibacakan kali yang kedua dan diserahkan kepada Dewan sebagai Jawatankuasa.

Perbahasan di parlimen di atas dipetik dari penyata rasmi parlimen bertarikh 18-12-2008 di laman Web rasmi Parlimen Malaysia.


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: