【国会辩论: 大专法令修正案 】Petikan dialog perbahasan di Parlimen mengenai Pindaan AUKU pada 11-12-2008

13 12 2008

Puan Teo Nie Ching [Serdang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Peruntukan mengenai Seksyen 15 dan pindaan yang dicadangkan dalam rang undang-undang ini secara jelas menampakkan niat tidak baik pihak kerajaan terhadap subject matter akta ini iaitu mahasiswa, yang memberikan gambaran jelas bahawa pihak kementerian tidak serius dalam menangani dan menyelesaikan isu kemunduran mentaliti, kreativiti dan daya saing mahasiswa. Meskipun peruntukan ini menyediakan satu aturan umum bahawa setiap mahasiswa diberikan hak untuk terlibat secara langsung dalam apa bentuk persatuan sekalipun, namun halangan yang tersedia dalam tiga sub seksyen berikutnya menjadikan hak dan kebebasan yang diberi di peringkat awal sebenarnya bersifat domestik dan tidak berkepentingan langsung.

Halangan ke atas mahasiswa untuk bermanifestasi dan berkonfrontasi secara langsung dan tidak langsung dengan aktiviti politik jelas bercanggah dengan beberapa undang-undang asas yang ada di Malaysia. Ini termasuklah Perlembagaan Persekutuan, Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia 1999, Demokrasi Hak Asasi Manusia Antarabangsa, Piagam Bangsa-Bangsa Bersatu, Prinsip-prinsip Keadilan Semula jadi iaitu Natural Justice dengan izin, dan prinsip-prinsip peraturan undang-undang rule of law.

Bahkan tanpa perlu merujuk secara terperinci kepada undang-undang domestik dan antarabangsa yang dinyatakan di atas. Seorang manusia yang waras juga mampu untuk berhujah bahawa mahasiswa sebagai seorang warga negara yang sah di Malaysia. Seharusnya, diberi kebebasan untuk menikmati hak-hak asasi yang telah dijamin. Apakah rasional sebenarnya untuk kerajaan yang mencadangkan pindaan ini di sebalik peruntukan sebegini. Sudah pasti jawapan yang akan diberi oleh Menteri atau Timbalan Menteri nanti ialah supaya mahasiswa kita mampu memberikan tumpuan dan fokus yang lebih kepada akademik sebagai core business mereka di kampus.

Namun, ingin saya kemukakan di sini sepanjang AUKU berdiri sebagai sebuah undang-undang yang terjalin di Malaysia selama 38 tahun. Apakah bukti-bukti relevan dan praktikal bahawa mahasiswa dan universiti Malaysia telah berjaya meningkatkan prestasi kecemerlangan akademik mereka? Adakah mana-mana universiti di Malaysia yang berjaya mencapai tangga ke 200 dan ke atas dalam rangking universiti-universiti terbaik dunia. Tambahan lagi mengapa negara-negara membangun lain seperti England, Jepun, dan China tidak perlu langsung undang-undang mirip AUKU untuk memastikan kecemerlangan prestasi akademik mereka.

Ada Ahli Parlimen dari Barisan Nasional yang mengatakan bahawa mahasiswa sebagai aset berharga negara perlu dipelihara daripada terpengaruh dengan mana-mana agenda politik kepartian yang bakal merosakkan mentaliti mahasiswa. Namun, ingin dilontarkan kembali persoalan kepada mereka yang menjunjung AUKU sebagai undang-undang yang baik di Malaysia. Selama AUKU wujud, siapakah yang sebenarnya mendominasi pemikiran mahasiswa dengan ideologi politik kepartian? Siapakah yang menganjurkan program BTN yang semata-mata untuk mengangkat ideologi parti politik sesebuah parti dan mengutuk ideologi politik yang lain?

Siapakah yang biasanya menyalurkan jutaan ringgit untuk setiap jentera pro aspirasi kampus setiap kali menjelang pilihan raya kampus, siapakah yang menganjurkan bengkel jentera pro aspirasi nasional? Siapa pula yang merasmikan bengkel tersebut? Fakta sejarah sudah cukup jelas memperlihatkan bahawa mahasiswa selama ini dilayan secara dengan izin, double standard. Ini kerana kita katakan bahawa peruntukan ini mempunyai kepentingan politik sebahagian pihak yang berkuasa. Mahasiswa dan politik dan seharusnya tidak dapat dipisahkan. Mahasiswalah yang bakal menggantikan kepimpinan negara yang ada sekarang. Mahasiswa yang bakal menerajui kecemerlangan dan kegemilangan negara di masa akan datang.

Andai mahasiswa ditukarkan daripada politik maka negara sebenarnya melahirkan bakal pemimpin yang tidak berdaya saing dan ketinggalan. Belajarlah daripada Singapura bagaimana kepimpinan yang ada sekarang mengadar kepimpinan yang akan datang. Konklusinya sekali lagi saya berpendirian bahawa pindaan yang dicadangkan oleh KPT kali ini tidak menyelesaikan masalah yang sedang dihadapi oleh mahasiswa. Pindaan ini sekadar topeng untuk mengembalikan pengaruh politik kerajaan di kalangan pelajar yg semakin terhakis. Sekian terima kasih.

.

.

.

Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin: Tuan Yang di-Pertua, ia menjurus kepada persoalan iaitu sama ada penyertaan dalam politik kepartian akan mempertingkatkan daya berfikir penuntut kerana premis hujah yang dinyatakan tadi ialah bahawa pindaan ini adalah berasaskan kepada falsafah pendidik. Usaha-usaha untuk kita menajamkan pemikiran pelajar-pelajar kita dan berasaskan kepada itu sama ada penyertaan pelajar dalam parti politik kepartian benar-benar akan dapat mempertingkatkan daya berfikir pelajar-pelajar kita.

Memang benar, kita tidak nafikan medan politik kepartian boleh menjadi wadah untuk berwacana. Namun setakat ini tidak ada bukti empirical yang dapat menyokong hujahan bahawa penyertaan dalam politik kepartian berupaya mempertingkatkan daya berfikir keseluruhan pelajar-pelajar dan penuntut-penuntut kita. Pada pandangan kerajaan, hujahan tersebut adalah telahan yang tidak dapat dipertahankan secara saintifik.

Puan Fong Po Kuan [Batu Gajah]: Yang Berhormat Menteri, ada kajian menunjukkan bahawa membenarkan pelajar-pelajar terlibat dalam parti politik akan menjejaskan pendidikan mereka. Kita sudah ada for the past 30 over years dengan AUKU…

Puan Fong Po Kuan [Batu Gajah]: Ini jawapan. Ada apa kajian, ada apa bukti ini akan menjejaskan pendidikan mereka. Ini alasan yang selalu diberikan oleh menteri.

Puan Teo Nie Ching [Serdang]: Saya hendak tambah sedikit.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Mohon laluan. Pasir Salak pula. Boleh?

Puan Teo Nie Ching [Serdang]: Saya hendak tanya Yang Berhormat Menteri, sekiranya tiada kajian saintifik yang menunjukkan bahawa penglibatan dalam politik akan mempertingkatkan daya berfikir mahasiswa, adakah kementerian ada kajian saintifik menunjukkan bahawa penglibatan dalam politik akan menjejaskan daya berfikir mahasiswa.

Sekiranya kementerian juga tidak ada kajian saintifik dalam area ini, pada pendapat saya marilah kita membenarkan mahasiswa untuk terlibat dalam politik kerana ini adalah hak asasi mereka. Sekiranya setiap orang selepas mereka mencapai umur 21 tahun mereka boleh terlibat dalam aktiviti-aktiviti politik, kenapa mahasiswa kita tidak ada kebebasan ini?

Tuan Haji Mohd. Nor bin Othman [Hulu Terengganu]: Saya ingin bertanya kepada Yang Berhormat Menteri, adakah Yang Berhormat Menteri sedar bahawa pada tahun 70-an, iaitu 1972, 1973, dan 1974 dahulu ada pemimpin pelajar kalau diizinkan saya akan sebutkan nama. Saya rasa tidak perlulah sebutkan.

Ada pemimpin pelajar pada masa itu di Universiti Malaya pernah dikatakan bahawa menjadi tempat kepada pertubuhan sosialis, ada pemimpin pelajar yang begitu aktif, ada pensyarahnya yang menyertai Parti Rakyat Malaya, ada pemimpin pelajar yang tidak dapat menghabiskan program pengajiannya dan tidak dapat ijazah. Malah terpaksa membuat permohonan untuk menyambung tempoh pengajiannya. Ini berlaku di Universiti Malaya pada tahun 1974 – 1975. Itu pemimpin pelajar yang terlibat dalam politik. Terima kasih.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Minta laluan. Yang Berhormat Menteri, boleh? Terima kasih, Tuan Yang di-Pertua. Terima kasih, Yang Berhormat Menteri. Saya belajar pada tahun 1969 to 1972. Kita terlibat dalam aktiviti studen, politic in a very big way, dengan izin, dengan Ketua Pembangkang sekali. Saya hendak beritahu di sini iaitu kebanyakan daripada pemimpin pelajar yang aktif dalam politik ini dia kurang belajar, banyak mesyuarat, mesyuarat, mesyuarat. Politik sahaja… [Disampuk] Perkataan “kamu” itu jangan pakai lagi! Saya hendak beritahu, kalau kata begitu nanti saya sebut saudara-saudara juga yang malu. Saya tidak mahu sebut. Jangan cuba hendak provoke saya. Nanti saya keluarkan cerita, yang malunya Pembangkang…

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Berbalik kepada AUKU. Ini cerita betul. Kita hendak pelajar-pelajar kita tumpu kepada pelajaran. Saya rasa majoriti di sini pun semasa di universiti tidak begitu aktif. Cuma terlibat sikit-sikit tetapi mendakwa seorang yang hebat benarlah konon! Jadi Ahli Jawatankuasa biro itu ini ingat sudah jadi pemimpin pelajarlah. Seorang dua sahaja yang hebat, yang lain belajar bersungguh-sungguh. Ini yang jadi doktor dan jadi apa semuanya ini dulu belajar sebab itulah jadi orang. Kalau tidak entah jadi apa pun.

Jadi, bagi anak-anak kita, kita hendak mereka belajar bukan kita hendak berpolitik. Jangan habiskan masa. Saya tahu, saya pun terpaksa banyak ponteng tutorial class, lecture class kerana politik pelajar, mesyuarat-mesyuarat, seminar, forum sana, forum sini.

Yang Berhormat Batu Gajah, jangan ingat Yang Berhormat terlalu hebat. “Oh, saya yang critical thinking, saya pandai, saya cerdik.” Kita bukan hendakkan pemimpin daripada pelajar yang macam Yang Berhormat Batu Gajah, hanya pandai bercakap buat tidak pandai.

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Jadi, dengan sebab itu kita jangan habiskan masa kerana hendak berpolitik. Pelajar-pelajar kita, kita hendak mereka belajar. Anak-anak kita belum cukup pandai lagi. Ada ilmu, belum cukup. Kita emak bapa ini hendak anak kita sibuk berpolitik kah? Kononnya hendak critical thinking, hendak competitive thinking, okey, suruhlah anak-anak jadi orang politik semuanya.

Tuan Haji Khalid bin Abd. Samad [Shah Alam]: Itulah sebabnya kita hendak tukar AUKU itu!

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: Itu pihak pembangkang. Pihak Kerajaan Barisan hendak anak-anak kita berilmu dan berpengetahuan dan kalau mereka belajar bersungguh-sungguh kita mereka akan menjadi orang-orang yang berjaya. Ini yang kita hendak bukan anak-anak yang berpolitik…

Dato’ Haji Tajuddin Abdul Rahman [Pasir Salak]: …Yang tidak membawa kemajuan kepada bangsa. Ini bercakap cuma mengikut emosi fitnah, tuduhan bukan-bukan. Ini soal di luar negara. Tadi Yang Berhormat Pokok Sena ada sebut di luar negara. Kita tahu bahawa pembangkang cukup aktif dengan pelajar-pelajar di luar negara. Tidak ada halangan. Sama ada kelab atau tidak kelab, saya ingat sambutan kepada pembangkang lebih hebat daripada sambutan pelajar kepada Barisan Nasional. Tidak ada masalah! By all means go, go and have it, dengan izin.

Jadi, dengan sebab itu soal kita hendak jaga pelajar di luar, itu terpulang kepada kita, inisiatif kita. UMNO dengan UMNO, Pembangkang boleh buat apa yang mereka hendak buat. Akan tetapi kita menganjurkan ke arah kebaikan, kemajuan bukan hendak menganjurkan supaya anak muda kita membuang masa, membazirkan masa yang tidak berfaedah kepada kita. Terima kasih.

Tuan Haji Mahfuz bin Omar [Pokok Sena]: Tuan Yang di-Pertua, saya sikit pasal hak untuk orang politik ini. Yang Berhormat kata bahawa ada pindaan ini menyebut bahawa untuk melarang pelajar-pelajar terlibat dalam parti politik tetapi dalam satu klausa yang lain, memberikan kuasa kepada NC, kepada Naib Canselor untuk meluluskan, untuk mempertimbangkan bila ada permohonan daripada pelajar-pelajar. Maknanya bolehlah kalau Naib Canselor rasa kata boleh, bolehlah. Satunya saya hendak katakan bahawa ini seolah-olah macam menjatuhkan taraf Naib Canselor jadi macam Ketua Penghulu, Ketua Kampung, JKKK, dok cop sain, cop sain. Jadi sesiapa mai mohon, dia cop sain macam orang hendak dapat buku teks. Sedangkan perkara ini tidak seharusnya berlaku.

Tetapi perkara keduanya, sejauh mana jaminan yang boleh diberikan dari sudut undang-undang bahawa Naib Canselor boleh berlaku adil, bahawa sesiapa pun yang memohon untuk menyertai parti politik, tidak kira parti politik apa, pembangkang ataupun kerajaan, dia boleh luluskan. Saya bimbang takut nanti kalau ada permohonan dari parti pembangkang, dia kata ini tidak boleh.

Kalau dari parti kerajaan, BN, ini boleh. Ini masalah saya. Saya hendak tunjukkan bahawa seolah-olah macam ada contradict…, satu waktu kata tidak boleh berpolitik, tetapi boleh dengan pertimbangan daripada Naib Canselor. Ini satu contradict lah bagi saya.

Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin: Seperti tidak ada pertentangan kerana yang dibenarkan adalah yang boleh memohon dengan budi bicara Naib Canselor ialah pelajar-pelajar post graduate, pasca ijazah, post graduate student yang seperti yang telah dinyatakan sebelum daripada ini. Mereka merupakan pelajar yang sememangnya sudah pun mempunyai kedudukan dalam parti politik. Maka mereka memohon untuk melanjutkan pelajaran dan golongan inilah yang diberikan pengecualian untuk terus dipertimbangkan bagi memegang jawatan. Soal yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat dalam celahan tadi, sebenarnya apabila kita meminda akta ini, kita memberi pilihan.

Pilihan kepada pelbagai organisasi dan persatuan-persatuan yang lain, yang sebelum ini tidak diberikan kepada mereka. Kita tidak mahu mereka hanya melihat kepada parti politik dan saya ingin nyatakan sekali lagi bahawa usaha untuk meminda akta ini adalah merupakan langkah pertama kepada usaha-usaha kita untuk membawa kecemerlangan kepada pengajian tinggi dalam negara kita dan kita lihat bagaimana perkembangan dan juga kemajuan yang akan kita lalui melalui usaha pertama yang dilakukan oleh kementerian seperti yang dinyatakan oleh Yang Berhormat dari Rembau tadi bahawa pindaan kepada AUKU ini memang merupakan sebagai satu usaha pertama, langkah pertama daripada kerajaan dan kementerian untuk membawa, mencapai matlamat yang kita kehendaki untuk universiti kita.

Memang pun antara perkara-perkara yang menjadi kebimbangan kepada kerajaan dan kementerian seperti yang dikatakan oleh Yang Berhormat Hulu Terengganu, soal tidak dapat menghabiskan pengajian, memohon masa lanjut untuk menyempurnakan pengajian dan kita juga mempunyai maklumat ataupun pengetahuan mengenai keputusan dan pencapaian-pencapaian setakat ini. Pelajar-pelajar yang sememangnya begitu aktif dalam pertubuhan-pertubuhan yang pelbagai, yang diwujudkan oleh pelajar di universiti atas nama-nama seperti ada yang dibangkitkan oleh Ahli-ahli Yang Berhormat dalam perbahasan yang ada tidak pun didaftar dan sebagainya. Yang menunjukkan prestasi pencapaian yang tidak begitu baik dan ini menyokong hujah yang dibawa oleh Yang Berhormat Pasir Salak. Mungkin kerana tumpuan pada usaha-usaha untuk menjayakan ubuhan mereka yang bersifat sedemikian, maka ia mengambil masa, tumpuan yang banyak bagi pelajar-pelajar sedemikian daripada mereka memberi tumpuan kepada pelajaran mereka. Oleh itu, wajar diambil ingatan bahawa halangan melibatkan diri dalam satu aspek tidaklah bermakna terhalang sepenuhnya…

Dato’ Seri Mohamed Khaled bin Nordin: ..Kebebasan bersuara dan seterusnya membantut pertumbuhan daya intelek penuntut-penuntut universiti.

Dr. Siti Mariah binti Mahmud [Kota Raja]: Terima kasih Yang Berhormat Menteri, terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya ingat apa yang ingin saya katakan ialah kadang-kadang kita prejudge, kita menilai, menghukum mahasiswa dan mahasiswi kita terlalu awal yang mereka menyokong parti itu dan parti ini. Kadang-kadang isu ataupun perkara yang mereka hendak bawa itu adalah isu-isu kemanusiaan, isu-isu keadilan dan isu-isu yang semestinya menyentuh masyarakat tetapi oleh kerana isu itu secara kebetulannya adalah isu-isu juga yang dibawa oleh pihak pembangkang. Maka mereka dicap dan dituduh menyokong pembangkang. Kita perlu memberi respect kepada mereka.

Sekiranya mereka tidak platform-platform yang telah sedia ada sekarang ini, pertubuhan-pertubuhan yang diluluskan oleh kementerian atau oleh universiti, tidak menyuarakan isu-isu tersebut, misalnya isu rasuah, isu ketelusan, isu integriti dan banyak lagi isu yang menjadi kepentingan kepada masyarakat. Maka platform yang mereka hendak gunakan itu. Kalau sekiranya mereka bersuara, maka mereka dicap, mereka ini adalah penyokong pembangkang. Jadi jelaskan kepada saya bagaimana mereka hendak bersuara dalam kes ini.

Tuan Loke Siew Fook [Rasah]: Terima kasih Yang Berhormat Menteri. Saya rasa Yang Berhormat Menteri dan Kementerian miss the point. Apa yang kita katakan bahawa walaupun kalau hari ini tidak ada larangan untuk mahasiswa berpolitik, bukan setiap mahasiswa akan masuk parti politik ataupun berminat untuk menjadi ahli politik. Saya rasa itu bukan. Kerana kalau bagi semua, tidak akan semua hendak masuk jadi ahli politik tetapi yang pentingnya, saya rasa yang inti patinya ialah kerana ada AUKU, kerana ada larangan-larangan yang….

Tuan Loke Siew Fook [Rasah]: Ini menyebabkan satu sense of ketakutan, ada rasa satu ketakutan dalam universiti kita, dalam kampus kita yang tidak menggalakkan satu suasana keterbukaan untuk membahaskan secara ilmiah. Saya rasa yang penting ialah AUKU ini telah menggalakkan satu spoon-feed system. Satu sistem yang memberikan maklumat satu hala. Pelajar-pelajar hanya mendapat sahaja, mendapat maklumat sahaja tetapi tidak memproses maklumat itu, tidak menganalisis sesuatu perkara itu. Saya rasa itu kesan yang paling buruk yang telah dikenakan oleh AUKU ini. Saya harap pihak kementerian melihat faktor-faktor ini bukan kerana ini bukan soal kepentingan politik. Saya yakin kalau hari ini tidak ada AUKU, tidak ada larangan, tidak semestinya semua mahasiswa akan menyokong Pakatan Rakyat, tentu tidak tetapi yang pentingnya ialah kebaikan kepada mereka ini dan kemajuan untuk para mahasiswa kita. Itu yang saya rasa kementerian patut lihat kepada perkara itu, terima kasih.

Tuan Charles Santiago [Klang]: Menteri, pagi tadi ada satu rombongan mewakili mahasiswa seluruh negara datang ke Parlimen untuk melobi dengan Yang Berhormat-Yang Berhormat dan mungkin mereka telah berjumpa dengan Yang Berhormat Menteri. Memorandum mereka sebenarnya adalah lebih kurang 5 pages tetapi intinya, pandangan pokoknya adalah they demand the right for freedom of expression, itu sahaja mereka hendak. Mereka tak hendak masuk UMNO kah, MCA kah, ataupun PAS kah, DAP ke ataupun PKR. Tidak, itu mereka tidak hendak. Apa yang mereka hendak dan mereka jelaskan ialah untuk ada satu suara untuk mengetengahkan aspirasi mereka dan juga pandangan mereka. Itu adalah pandangan mereka dan pandangan mereka juga disokong oleh GERAK iaitu Persatuan Kakitangan Akademik di Malaysia. So, oleh kerana itu saya fikir baguslah kalau menteri dapat ulang kaji Seksyen 15 dan juga ulang kaji dan withdraw that provision, so that will give the right, hak kepada mahasiswa-mahasiswa untuk mengutarakan masalah rakyat. So, I think that is the confusion dalam pandangan menteri dan juga penasihat-penasihat menteri. Kalau dilonggarkan, mereka semua akan jadi anggota parti pembangkang. Tidak! Itu tidak!.

Tuan Charles Santiago [Klang]: …Mereka hanya hendak satu suara untuk dengarkan dan menyuarakan hak mereka sebagai rakyat negara ini mengenai isu-isu pekerjakah, peladangkah, ataupun isu-isu di mana hak rakyat dieksploitasi. Sekian, terima kasih.

Dialog perbahasan dewan rakyat di atas dipetik dari Penyata Rasmi Dewan Rakyat bertarikh 11-12-2008, laman Web Parlimen Malaysia.


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: