Penyata Rasmi Dewan Rakyat 24-11-2008 berkenaan isu-isu pengangkutan di kws Parlimen Serdang

25 11 2008

Puan Teo Nie Ching [Serdang]: Terima kasih Tuan Pengerusi, ringkas sahaja.

Perkara pertama, Butiran 81000 – Pembukaan Susur Jalan Masuk dari Lebuh raya SILK melalui fasa 7 Bukit Mewah adalah permintaan penduduk-penduduk lapan perumahan di Bukit Mewah. Ini adalah kerana mereka terpaksa menggunakan jalan yang jauh dan perlu melalui Tol Bukit Kajang dengan kadar bayaran RM1 untuk kembali ke taman masing-masing dalam jarak 8 hingga 10km dan memakan masa sekurang-kurangnya 15 minit.

Kini hanya jalan keluar yang boleh digunakan oleh penduduk sekitar dan masalah ini telah berlarutan selama 12 tahun. Dengan jalan masuk dibuka, penduduk-penduduk di Bukit Mewah dapat menjimatkan perbelanjaan petrol yang dianggarkan sebanyak RM3 dan tidak perlu membayar tol sebanyak RM1. Maka RM4 dapat dijimatkan dalam masa sehari. Dengan pembukaan jalan ini, kesesakan lalu lintas yang sering berlaku di Jalan Bukit juga dapat dikurangkan terutamanya di hadapan Stesen Komuter Kajang yang sering mengalami kesesakan pada waktu puncak.

Saya telah dimaklumkan oleh MPKJ bahawa Kementerian Kerja Raya telah menolak cadangan pembukaan jalan masuk tersebut. Saya di sini meminta penjelasan daripada Yang Berhormat Menteri, kenapa cadangan pembukaan jalan masuk tersebut ditolak. Ini kerana bukankah keselesaan penduduk-penduduk mesti diutamakan dan bukan keuntungan syarikat konsesi.

Isu kedua juga adalah berkenaan pembinaan lebuh raya SILK. Pembinaan lebuh raya SILK telah mengakibatkan penduduk-penduduk Taman Kajang Utama perlu mengambil perjalanan lebihan sebanyak 4km setiap kali mereka keluar masuk taman mereka. Satu terowong telah dipersetujui oleh bekas Menteri Kerja Raya ketika merasmikan operasi lebuh raya SILK pada Jun 2004. Akan tetapi selepas empat tahun, terowong itu belum dibina lagi kerana masih belum dapat peruntukan daripada EPU.

Sebagai sebuah kerajaan yang ikhlas, kementerian seharusnya memastikan bahawa semua janji oleh seseorang menteri ataupun bekas menteri ditunaikan. Saya ingin tanya apa usaha-usaha atau langkah-langkah yang akan diambil oleh Menteri kini untuk memastikan bahawa terowong itu akan dibina secepat mungkin.

Perkara ketiga adalah mengenai Laluan Jalan Persekutuan 3125 di bawah Butiran 60000. Tuan Pengerusi, laluan 3125 Jalan Persekutuan telah diisytiharkan pada tahun 1990/1994 dan diwartakan pada tahun yang sama. Akan tetapi selepas 12 tahun, Laluan Jalan Persekutuan ini masih belum berubah. Jalan ini memang substandard, dan sebahagian besarnya tidak ada lampu jalan dan tiada tanda papan yang diikuti. Apakah sebab jalan ini tidak dinaiktarafkan selama ini? Masalah kesesakan lalu lintas yang begitu serius, muka jalan tidak rata, tanda-tanda papan tidak ikuti. Saya minta penjelasan menteri, bila laluan Jalan Persekutuan ini akan di naik taraf?

Perkara terakhir tentang Jalan Utama Serdang Raya di bawah Butiran 20000. Jalan utama Serdang Raya adalah satu jalan yang begitu sesak. Sebagai satu usaha untuk mengatasi masalah kesesakan lalu lintas di jalan utama Serdang Raya, satu persimpangan bertingkat sedang dibina dekat Wisma SSP. Akan tetapi kerja pembinaan persimpangan tersebut sudah lama terhenti. Saya di sini ingin meminta penjelasan daripada menteri terhadap kenapa perhentian pembinaan persimpangan tersebut dan bila pembinaan persimpangan bertingkat itu akan siap? Sekian sahaja, terima kasih.

Dato’ Yong Khoon Seng: Tuan Pengerusi saya ambil perhatian cadangan dari Yang Berhormat Pasir Salak dan Yang Berhormat Jasin. Terima kasih, cadangan itu kita ambil perhatian dan akan memberi secara bertulislah. Ini perkara yang baru. Akhir sekali oleh kerana telah pun lewat, saya akan menjawab Yang Berhormat Serdang. Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, penggunaan jalan masuk di Bukit Mewah, Kajang ini akan mengakibatkan kebocoran trafik Lebuh Raya SILK. Sekiranya dibuka kerajaan perlu membayar pampasan di atas kebocoran yang dihadapi.

Perkara yang kedua yang dibangkitkan oleh Yang Berhormat Serdang ialah mengenai terowong ini underpass. Kerajaan telah mengemukakan rayuan kepada pihak EPU untuk mempertimbangkan pembinaan terowong atau underpass dengan izin. Walau bagaimanapun, sehingga hari ini pihak kementerian masih belum menerima sebarang maklum balas berhubung perkara ini. Tuan Pengerusi oleh kerana masa tidak mengizinkan…

Puan Neo Nie Ching [Serdang]: Minta penjelasan. Banyak terima kasih. Terima kasih Timbalan Menteri saya tahu belum dapat maklum balas daripada unit itu tetapi berapa lama perlu tunggu lagi? Sudah empat tahun sejak bekas menteri yang berjanji kepada penduduk-penduduk di Kajang Utama bahawa satu terowong akan dibina. Perlukah kita tunggu sampai Pilihan Raya ke-13 ataupun bila? Bila boleh kementerian menunaikan janji tersebut?

Tuan Aaron Ago Dagang [Kanowit]: Tuan Pengerusi ini isu yang dibangkitkan oleh Kanowit belum juga dijawab.

Dato’ Yong Khoon Seng: Yang Berhormat Serdang, ini kita akan buat follow up lah. Sebenarnya kita pun tidak tahu. Kalau kerajaan kata next year, satu tahun kalau tidak tercapai lagi juga teruklah. Kita secepat mungkin cuba dengan kerja follow up. Yang Berhormat Kanowit, saya akan memberi jawapan bertulis mengenai jalan-jalan di luar bandar di Sarawak. Saya ada butiran tetapi tidak di tangan saya. Saya akan menjawab secara bertulis. Tuan Pengerusi saya…

Penyata Dewan Rakyat ini dipetik dari http://www.parlimen.gov.my/hindex/pdf/DR-24112008.pdf


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: