Teks Ucapan Perbahasan Teo Nie Ching untuk Belanjawan 2009

5 11 2008

TARIKH : 29.10.2008

Puan Teo Nie Ching [Serdang]: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua kerana memberikan peluang kepada saya untuk mengambil bahagian dalam perbahasan Bajet 2009.

Tuan Yang di-Pertua, subjek pertama yang saya ingin bangkitkan adalah berkenaan isu pendidikan. Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik menggunakan bahasa Inggeris ataupun PPSMI telah digunakan selama enam tahun. Pada 17 April 2002, mesyuarat Jemaah Menteri mengarahkan Kementerian Pelajaran Malaysia mengkaji pelaksanaan PPSMI. Hanya selepas tiga bulan iaitu satu masa yang begitu singkat, Menteri Pendidikan mengumumkan dengan rasminya bahawa PPSMI akan digunakan mulai tahun 2003.

Memanglah itu satu keputusan yang begitu tergesa-gesa. Selepas enam tahun PPSMI dilaksanakan, dapatan kajian menunjukkan bahawa ada terdapat aspek positif tetapi banyak kesan negatif terhadap polisi ini. Antaranya dapatan kajian menunjukkan bahawa PPSMI hanya akan menguntungkan dan memberi kesan positif kepada sebilangan kecil pelajar saja yang dianggarkan sekitar 20% sehingga 25% yakni bagi pelajar-pelajar yang cerdik dan pandai yang datang dari latar belakang keluarga yang sosioekonominya tinggi dan dari sekolah elit terutamanya di bandar.

Sementara 75% lagi pelajar yang penguasaan bahasa Inggerisnya lemah, ibu bapa berpendapatan rendah terutamanya murid-murid Melayu dan bumiputera di luar bandar, di pulau-pulau dan sekolah kaum asli akan menghadapi kegagalan. Contohnya analisis UPSR 2007 menunjukkan bahawa di SK, 28.6% beroleh D dan E dalam Bahasa Inggeris, 17.2% mendapat D dan E dalam Matematik manakala 14.28% mendapat D dan E dalam Sains. Jika PPSMI diteruskan, pelajar-pelajar yang lemah akan bertambah bebannya untuk mengikuti Matematik dan Sains dalam bahasa Inggeris.

Di peringkat PMR, bilangan calon yang mendapat D dan E lebih ketara dan menakutkan di mana pada tahun 2007, Bahasa Inggeris – 46.12%, matematik – 46.41% dan 47.12% bagi sains. Kegagalan mereka di peringkat PMR akan membawa kemudaratan apabila mereka menduduki SPM. Dapatan kajian ‘PEMBENA’ iaitu ‘Permuafakatan Bandar Email Nasional’menunjukkan bahawa pencapaian keseluruhan murid kohort dua dalam mata pelajaran Sains dan Matematik bertambah merosot apabila mereka meningkat ke peringkat lebih tinggi. Ini bererti semakin banyak dan kompleks penggunaan bahasa Inggeris, semakin sukar untuk murid-murid memahaminya.

Kemerosotan sangat drastik bagi murid-murid yang lemah terutamanya sekolah-sekolah di luar bandar. Hanya murid-murid yang cerdik dan di sekolah elit saja yang tidak menunjukkan kemerosotan yang ketara. Selain daripada itu juga didapati bahawa PPSMI akan menyebabkan bertambah jaraknya prestasi antara sekolah bandar dan luar bandar. Pengajaran dan pembelajaran tidak berjalan dengan lancar. Guru-guru kurang kompetensi, kurang yakin dan penggunaan ICT di tahap yang minimum. Akibatnya, murid-murid hilang punca dan kurang minat belajar sains dan matematik.

PPSMI tidak kira pandangan sarjana pendidikan dan NESCO yang berpendapat bahawa pendidikan dalam bahasa ibunda seseorang pelajar mempengaruhi pencapaian pelajar tersebut di dalam mata pelajaran kritikal. Kanak-kanak perlu menggunakan bahasa ibundanya dahulu sebelum mereka bersekolah menggunakan bahasa asing. Pada keseluruhannya didapati mengikut nilai ‘score encore’ bagi setiap aspek yang dinilai, puratanya di peringkat lemah dan sederhana sahaja.

Di sini, saya ingin mengucapkan tahniah kepada Kementerian Pelajaran Malaysia yang menganjurkan satu persidangan meja bulat PPSMI pada 27 Ogos 2008. Sudah tiba masa untuk kerajaan mengakui bahawa pelaksanaan PPSMI enam tahun dahulu adalah satu keputusan yang salah dan PPSMI harus dihapuskan sekurang-kurangnya di peringkat SK dan SJK. Subjek kedua yang saya ingin bangkitkan adalah berkenaan pengangkutan awam. Kita semua sudah tentu tidak mahu melihat ada lagi bas yang kerusi rosak di sana-sini, loceng bas yang tidak berfungsi dan kemalangan bas ekspres yang kerap akibat masalah mekanikal. Apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk menjadikan pengangkutan awam di negara ini seperti kemudahan pengangkutan awam di negara-negara maju. Perkhidmatannya lebih efisien dan lebih berkualiti. Antaranya kemudahan yang mencukupi, masa tiba tetap dan petugas yang berhemah.

Kerajaan kita sentiasa menggalakkan orang ramai untuk menggunakan pengangkutan awam. Untuk mencapai hasrat itu, kita harus memastikan bahawa perkhidmatannya adalah lebih efisien dan berkualiti. Antaranya kemudahan yang mencukupi, masa tiba tetap dan petugas berhemah tetapi apa yang kita nampak sekarang adalah kemalangan bas ekspres yang semakin menjadi-jadi.

Dalam suasana gembira menjelang ulang tahun kecemerlangan ke-50 iaitu pada 15 Ogos tahun dahulu, kita dikejutkan dengan tragedi kemalangan bas ekspres yang meragut 21 nyawa di kilometer 229.1 dekat Bukit Gantang. Pemandu bas terbabit mempunyai 15 saman termasuk dua waran tangkap bebas memandu di jalan raya manakala bas ekspres berkenaan digunakan sejak 1987 dan gagal empat kali pemeriksaan di PUSPAKOM kerana masalah brek, di saman 19 kali oleh polis sejak 1991 selain merekodkan 79 saman dengan JPJ sejak 5 tahun yang dahulu.

Selepas insiden tersebut, beberapa langkah telah diambil oleh kerajaan. Malangnya langkah-langkah yang telah diambil oleh kerajaan adalah kurang efektif dan kurang berkesan kerana belum pun satu minggu iaitu pada 18 Ogos 2007, bas ekspres Sri Maju terbalik dalam perjalanan dari Kangar, Perlis menghala ke Johor Bahru. Dalam kemalangan itu, tujuh orang iaitu enam penumpang bas dan pemandu bas ekspres terbabit mengalami kecederaan.

Seterusnya pada 25 Januari tahun ini, bas ekspres terbalik di kilometer 384 Lebuh raya Utara Selatan dekat Behrang. Tiga orang terkorban. Pada 4 Jun tahun ini, Bas Ekspres Genting terbabas. Selepas satu minggu iaitu 11 Jun.

Tuan Yang di-Pertua: Dua minit lagi, Yang Berhormat.

Puan Teo Nie Ching [Serdang]: Boleh. Iaitu pada 11 Jun 2008, bas ekspres Super Nice dalam perjalanan dari Butterworth ke Kuala Lumpur terbabas. Belum sampai dua minggu, pada 24 Jun 2008, bas ekspres Allison terbabas. Soalan saya, apakah langkah-langkah yang telah diambil terhadap bas-bas tersebut. Sudah banyak nahas yang melibatkan bas ekspres di negara kita tetapi apakah langkah dan tindakan yang telah diambil terhadap syarikat-syarikat tersebut dan apakah langkah-langkah yang akan diambil oleh kerajaan untuk memastikan bahawa tiada bas ekspres yang mempunyai saman kesalahan trafik beroperasi di jalan raya pada masa depan.

Isu utama ialah kelemahan dari sudut penguatkuasaan. Kita mempunyai peraturan dan syarat yang cukup tetapi sebahagian besarnya tidak dikuatkuasakan. Inilah puncanya. Oleh kerana kesingkatan masa, saya tidak ingin sambung lagi dengan isu subjek ketiga. Sekian saja, terima kasih.

To view Youtube video of Teo Nie Ching’s debate on Budget 2009, please visit
http://www.wretch.cc/blog/teonieching/20950015


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: