[Malaysiakini] Badan peguam minta k’jaan bebas segera tahanan ISA

20 09 2008

Badan Peguam Malaysia hari ini meminta kerajaan segera membebaskan dengan tanpa syarat semua tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Badan itu, dalam mesyuarat agung luar biasanya, yang dihadiri oleh 739 anggota, menerima resolusi yang menggesa pembebasan lebih 60 tahanan ISA serta lebih 2,000 tahanan yang ditahan mengikut pelbagai undang-undang pencegahan, sama ada dibebaskan atau didakwa di mahkamah.

“Terdapat banyak undang-undang yang dikaitkan dengan para tahanan ini dan jika pihak berkuasa mempunyai bukti terhadap mereka, dakwa mereka di mahkamah terbuka bagi membolehkan mereka mempertahankan diri,” kata Presiden Badan Peguam Malaysia Datuk Ambiga Sreenevasan.

Beliau berkata badan itu mendesak kerajaan supaya segera memansuhkan ISA dan Ordinan Darurat 1969 dan Akta Dadah Berbahaya 1985, demikian dilaporkan oleh Bernama.

Ambiga memberitahu pemberita bahawa mesyuarat itu juga sebulat suara mahukan kerajaan mendokong ikrarnya terhadap Majlis Hak Asasi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi mempromosikan dan melindungi hak asasi dan kebebasan asas serta menggalakkan kebebasan media.

Mesyuarat yang diadakan di Wisma MCA hari ini turut mengutuk surat tunjuk sebab kepada Sin Chew Daily, The Sun serta Suara Keadilan dan menggesa kerajaan menarik balik surat berkenaan dengan segera.

“Kebanyakan anggota berasa sangat bimbang dengan layanan yang diberikan kepada tahanan ISA di mana mereka berada dalam keadaan daif, diberikan makanan tidak sihat dan kurang berhubung dengan dunia luar,” kata Ambiga.

Bekas presiden Sulaiman Abdullah berkata kerajaan sepatutnya mengambil kira pertimbangan mengenai cabaran dan trauma yang dihadapi anggota keluarga tahanan apabila mereka terpisah dengan orang yang disayangi selama lebih enam tahun.

“Sudah tiba masanya kerajaan memansuhkan ISA memandangkan ia boleh disalahgunakan terhadap mereka yang membantah kerajaan,” katanya.

Seorang lagi bekas presiden, Kuthubul Zaman Bukhari berkata ini bukan pertama kali Badan Peguam Malaysia mendesak supaya ISA dimansuhkan dan akta itu tidak lagi sesuai dalam masyarakat masa kini.

Ditanya apakah tindakan badan itu selepas ini jika tidak mendapat maklumbalas yang memuaskan daripada kerajaan bagi memansuhkan ISA, Ambiga berkata tekanan akan dipertingkatkan terhadap kerajaan menerusi penggubal undang-undang yang dilantik serta sokongan oleh pertubuhan lain.

Berita ini dipetik dari Malaysiakini.


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: