My Adjournment Speech on 9 July 2008

10 07 2008

Masalah kesesakan lalulintas adalah semakin serius. Kesesakan lalulintas bukan sahaja telah mengakibatkan pembaziran wang dan masa yang boleh dielakkan, tetapi juga telah menimbulkan pencemaran udara dan bunyi.

Walaupun masalah kesesakan lalulintas sudah lama menyusahkan penduduk-penduduk kawasan Parlimen Serdang, tiada langkah-langkah yang berkesan telah diambil untuk mengatasi masalah tersebut kecuali projek menaiktaraf persimpangan Jalan Serdang Raya / Jalan Puchong – Sg. Besi. Pada pendapat saya, ini adalah amat tidak mencukupi.

1. Saya pernah mengemukakan pertanyaan di Parlimen berkenaan rancangan untuk membina satu persimpangan bertingkat di Jalan Puchong – Seri Kembangan sebagai jalan keluar masuk ke Lebuhraya Kuala Lumpur – Putrajaya. Tetapi amat mengecewakan, jawapan Kementerian adalah pihak kerajaan tiada rancangan sebegini. Pembinaan persimpangan tersebut memberikan penduduk-penduduk Seri Kembangan yang sudi membayar tol satu jalan alternatif untuk pergi ke Kuala Lumpur. Sekarang, penduduk-penduduk Seri Kembangan hanya melihat orang lain menggunakan lebuhraya tersebut yang melalui kawasan Serdang tetapi mereka sendiri tidak diizinkan untuk menggunakan lebuhraya tersebut. Ini adalah amat tidak adil.
2. Sudah lama penduduk-penduduk Serdang meminta sebuah “flyover” dibina di Jalan Putra Permai di hadapan Pusat Perdagangan Seri Kembangan. Saya ingin tahu apakah perkembangan tentang rancangan tersebut dan bila pelaksanaan satu projek di dalam kajian separuh penggal RMK-9 di kawasan Serdang di bawah tajuk cadangan menaiktaraf laluan 3215, Seri Kembangan, akan bermula.

3. Pembinaan Lebuhraya SILK telah mengakibatkan penduduk-penduduk Taman Kajang Utama perlu mengambil perjalanan lebihan sebanyak 4km setiap kali mereka keluar masuk taman mereka. Satu terowong telah dipersetujui oleh bekas wakil rakyat Parlimen kawasan Serdang untuk merentasi lebuhraya SILK. Tetapi sampai hari ini terowong itu belum dibinakan lagi. Sebagai sebuah kerajaan yang ikhlas Kementerian seharusnya memastikan semua perjanjian oleh wakil raykat Barisan National ditunaikan. Oleh demikian, saya berharap permohonan peruntukan yang telah dikemukakan pada kajian separuh penggal rancangan Malaysia Ke-9 akan diluluskan.

4. Pembukaan susur jalan masuk dari Lebuhraya Silk melalui Fasa 7 Bukit Mewah adalah sorakan penduduk-penduduk dari 8 taman perumahan di Bukit Mewah. Ini adalah kerana mereka terpaksa menggunakan jalan yang jauh dan perlu melalui tol Bukit Kajang dengan kadar bayaran RM1 untuk kembali ke taman masing-masing dalam jarak 8 hingga 10 kilometer dan memakan masa sekurang-kurangnya 15 minit. Kini, hanya jalan keluar yang boleh digunakan oleh penduduk sekitar dan masalah ini telah berlarutan selama 12 tahun. Dengan jalan masuk ini dibuka, penduduk-penduduk Bukit Mewah dapat menjimatkan perbelanjaan petrol uang dianggarkan sebanyak RM3 dan tidak perlu membayar tol yang sebanyak RM1 maka RM4 dapat dijimatkan dalam masa sehari. Dengan pembukaan jalan ini kesesakan lalulintas yang sering berlaku di Jalan Bukit juga dapat dikurangkan terutamanya di hadapan Stesen Komuter Kajang yang sering mengalami kesesakan pada waktu puncak. Saya telah dimaklumkan oleh MPKj bahawa Kementerian Kerja Raya telah menolak cadangan pembukaan jalan masuk tersebut atas alasan terdapat bantahan daripada pihak konsesi. Saya minta Yang Berhormat Menteri mempertimbangkan semula cadangan pembukaan jalan masuk ini. Keselesaan penduduk-penduduk mesti diutamakan dan bukan keuntungan syarikat konsesi. Saya amat menghargai usaha Yang Berhormat Menteri dalam peristiwa Bandar Mahkota Cheras dan sesungguhnya percaya bahawa, sekiranya Kementerian Kerja Raya boleh berunding dengan Grand Saga mengenai perkara Bandar Mahkota Cheras, mestilah Kementerian boleh berunding dengan syarikat konsesi SILK.

Harga petrol telah dinaikkan ke satu tahap yang begitu drastik. Dengan pembinaan jalan keluar masuk dan terowong tersebut, penduduk-penduduk di kawasan Serdang boleh banyak mengurangkan penggunaan petrol kenderaan mereka. Untuk menunjukkan keikhlasan kerajaan pusat bahawa pihak kerajaan memahami rasa dan penderitaan rakyat jelata, Kementerian seharusnya membina jalan-jalan keluar masuk dan terowong tersebut secepat mungkin.

Timbalan Menteri Kerja Raya Dato’ Yong Khoon Seng: Terima kasih Tuan Yang di-Pertua. Saya menjawab. Pada kesempatan ini izinkan saya memberi penjelasan terhadap perkara yang telah dibangkitkan oleh Ahli Yang Berhormat dari Serdang berkaitan dengan pembinaan jalan keluar masuk dan terowong di kawasan Serdang.

Untuk makluman Ahli Yang Berhormat, Lebuh Raya Kuala Lumpur-Putrajaya telah direka bentuk untuk beroperasi secara sistem tol terbuka dengan akses secara terkawal ke lebuh raya selaras dengan hasrat pihak kerajaan untuk menjadikan ia sebuah lebuh raya yang khusus atau dengan izin dedicated highway dari Kuala Lumpur ke Putrajaya dan KLIA.

Akses di lima persimpangan bertingkat sedia ada ketika ini dilaksanakan berdasarkan ketetapan yang telah dibuat oleh pihak kerajaan sebelum ini. Cadangan persimpangan bertingkat Seri Kembangan tidak diperuntukkan di dalam perjanjian konsesi yang telah ditandatangani. Lanjutan dari itu, memandangkan cadangan pembinaan persimpangan bertingkat di Jalan Puchong-Seri Kembangan atau di Bandar Putra Permai tidak diperuntukkan di dalam perjanjian konsesi Lebuh Raya Kuala Lumpur-Putrajaya-KLIA, maka pihak Lembaga Lebuh Raya Malaysia telah pun mengemukakan cadangan tersebut kepada pihak Unit Perancangan Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri di dalam Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Kesembilan dengan anggaran kos sebanyak RM85 juta iaitu RM75 juta untuk pembinaan dan RM10 juta untuk pengambilan balik tanah.

Cadangan projek tersebut bagaimanapun telah disenaraikan sebagai cadangan projek yang tidak komited. Sebagai langkah alternatif pula, cadangan tersebut boleh dipertimbangkan untuk dikemukakan kepada Unit Perancang Ekonomi, JPM bersama-sama dengan cadangan pembinaan seksyen 3 iaitu Putrajaya ke KLIA. Seksyen di tangguh atau dengan izin, deferred section yang perlu dikemukakan oleh pihak syarikat konsesi dalam tempoh 5 tahun setelah seksyen dari Kuala Lumpur ke Putrajaya beroperasi bermula Disember 2007.

Untuk makluman Ahli-ahli Yang Berhormat, semasa mereka membentuk Lebuh Raya SILK ini, satu pusingan ‘U’ telah disediakan sebelum plaza tol untuk penduduk-penduduk taman di sekitaran untuk merentasi Lebuh Raya SILK. Pada masa sekarang, penduduk-penduduk daripada Taman Kajang Utama boleh merentasi Lebuh Raya SILK dengan membuat pusingan ‘U’ sebelum plaza tol di Bukit Kajang yang terletak 2 kilometer daripada simpang Taman Kajang Utama.

Kementerian sedar dan faham permintaan penduduk, untuk membina terowong yang merentasi Lebuh Raya SILK untuk memendekkan perjalanan dan menjimatkan masa dan petrol. Maka kementerian telah menyediakan lukisan konsep terowong ini dan pembinaan terowong ini mengambil masa selama 18 bulan. Sehingga kini pihak kementerian masih menunggu kelulusan peruntukan dalam kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesembilan.


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: