[Berita Harian] Parlimen menanti debat menarik

27 04 2008

~ Oleh Magendran Rajagopal

99 muka baru bakal cetus perkara sukar diramal di Dewan Rakyat

TIDAK syak lagi sidang Parlimen ke-12 yang membuka tirai esok menjanjikan kerancakan tersendiri dengan Barisan Nasional (BN) menguasai 140 kerusi dan pembangkang 82 kerusi. Selain itu, 99 muka baru daripada pelbagai latar belakang sudah tentu bakal mewarnai debat yang tentunya menarik.

Malah, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, sendiri enggan membuat spekulasi apa yang akan berlaku, tetapi sekadar menegaskan semua harus patuh kepada Peraturan Mesyuarat jika tidak mahu menghadapi masalah.
Hakikatnya, perbahasan, soalan atau jawapan yang diberi tidak boleh lagi secara hentam keromo saja kerana lebih ramai ahli Dewan Rakyat kini melakukan kajian mendalam mengenai sesuatu isu, malah ada yang mempunyai pasukan penyelidik tersendiri.

Selain itu, sumber boleh dipercayai yang menyalurkan maklumat kepada ahli Dewan Rakyat kini tidak main serkap jarang saja, sebaliknya berserta bukti kukuh yang tidak mungkin ditangkis tanpa persediaan memadai.

Tindakan rakyat memilih wakil kali ini sedikit sebanyak membayangkan apa sebenarnya diharapkan mereka daripada Ahli Parlimen masing-masing dan berdasarkan kejutan 8 Mac lalu, tidak syak lagi sesiapa yang gagal memenuhi aspirasi pengundi akan tersingkir pada pilihan raya umum akan datang.

Umpamanya, Ahli Parlimen Kelana Jaya, Loh Gwo Burne, yang boleh kita katakan menjadi bidan terjun dalam politik kerana pengundi hanya mengenalinya sebagai individu bertanggungjawab merakamkan video kontroversi membabitkan peguam Datuk VK Lingam.

Namun, beliau mampu menewaskan calon veteran MCA, Datuk Lee Hwa Beng, yang sudah beberapa penggal mempertahankan kerusi Kelana Jaya sebelum ini dan diramalkan tidak mungkin tewas berdasarkan sumbangannya di kawasan itu.

Dua lagi nama yang tidak asing iaitu aktivis hak asasi manusia, R Sivarasa (Parlimen Subang) dan Tian Chua (Parlimen Batu) kini membawa perjuangan mereka ke dalam Dewan Rakyat selepas hampir dua dekad melakukannya menerusi demonstrasi jalanan dan tunjuk perasaan.

Selain itu, tidak kurang juga tokoh politik yang ibarat sirih pulang ke ganggang seperti veteran Pas, Mahfuz Omar yang kalah pada Pilihan Raya Umum 2004, tetapi kembali mewakili Parlimen Pokok Sena.

Bekas orang kuat Umno di Pasir Mas, Datuk Ibrahim Ali, kini kembali selaku Ahli Parlimen Bebas kawasan yang sama, walaupun menang pada pilihan raya lalu atas tiket Pas.

Barisan Nasional tidak lagi menguasai dua pertiga kerusi Parlimen, tetapi ini hanya menjadi masalah apabila pindaan mahu dilakukan terhadap Perlembagaan Persekutuan yang memerlukan sokongan sekurang-kurangnya dua pertiga anggota Dewan Rakyat.

Ini tidak mungkin dilakukan tanpa sokongan pembangkang. Cabaran pertama terhadap penguasaan BN di Parlimen dijangka dapat disaksikan apabila pindaan dibuat terhadap persempadanan semula kawasan pilihan raya yang sudah lama didakwa pembangkang ada unsur penyelewengan.

Di kalangan pembangkang, PKR memiliki 31 kerusi pada pilihan raya 2008 berbanding hanya satu pada 2004, DAP ada 28 kerusi, manakala Pas memiliki 23 kerusi.

Memang benar BN menang 90 peratus daripada 219 kerusi pada 2004, tetapi penguasaan 140 daripada 222 kerusi pada pilihan raya kali ini masih satu kejayaan besar, tambahan pula dengan kehadiran suara-suara lantang veteran seperti Datuk Mohamad Aziz dan Datuk Bung Mokhtar Radin, menjanjikan sidang yang tidak menjemukan kali ini.

Barisan pembangkang juga tidak ketandusan calon yang berupaya menghadapi Bung Moktar atau Mohamad Aziz, terutama tiga serangkai DAP yang juga seteru lama mereka, Chong Eng (Bukit Mertajam), Fong Po Kuan (Batu Gajah) dan Teresa Kok (Seputeh).

Kali ini, mereka disertai muka baru dari Parlimen Serdang, Teo Nie Ching, yang ternyata bukan calang-calang pembahas berdasarkan ceramahnya ketika berkempen.

Parlimen kali ini juga bakal menyaksikan aksi 13 Ahli Parlimen berketurunan India iaitu rekod paling banyak dalam sejarah negara. Selain tiga calon MIC, Datuk Dr S Subramaniam (Segamat), SK Devamany (Cameron Highlands) dan Datuk M Saravanan (Tapah), bakinya wakil DAP serta PKR.

Selain Sivarasa, mereka termasuk Karpal Singh (Bukit Gelugor), N Gobalakrishnan (Padang Serai), P Ramasamy (Batu Kawan), Dr Michael Jeyakumar (Sungai Siput), M Kulasegaran (Ipoh Barat), M Manogaran (Teluk Intan), Gobind Singh (Puchong) dan S Manikavasagam (Kapar).

DAP turut menampilkan dua pasangan Ahli Parlimen bapa dan anak iaitu Karpal serta Gobind selain Lim Kit Siang serta Guan Eng, manakala PKR pula ada pasukan ibu dan anak iaitu Datin Seri Wan Azizah Wan Ismail (Permatang Pauh) dan Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai).

Ada juga pasangan adik beradik yang haluan perjuangannya berbeza iaitu Datuk Shahrir Abdul Samad (Johor Bahru) yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta adiknya mewakili Pas, Khalid Abdul Samad, yang menang di Parlimen Shah Alam.

Beberapa bekas calon BN, termasuk beberapa orang kuat Umno, yang kini berpaling tadah mewakili pembangkang seperti bekas Timbalan Menteri Besar Selangor, Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad (Hulu Langat) dan bekas Setiausaha Pemuda Umno, Saifuddin Nasution Ismail (Machang).

Antara Ahli Parlimen yang dijangka mencuri tumpuan kali ini ialah Tony Pua Kiam Wee (DAP-Petaling Jaya Utara), yang juga penasihat ekonomi Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Sebelum ini beliau memegang jawatan Ketua Eksekutif sebuah syarikat yang tersenarai di Bursa Saham Singapura. Beliau berkelulusan jurusan Politik, Falsafah dan Ekonomi dari Kolej Keble, Universiti Oxford.

Mohd Hatta Ramli (Pas-Kuala Krai) adalah bekas doktor perubatan dan bekas Setiausaha Politik pemimpin veteran Pas, Allahyarham Datuk Fadzil Noor. Beliau yang kini memegang jawatan Bendahari Pas, adalah bekas pelajar Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK) dan banyak pengalaman mengupas pelbagai isu semasa.

Dr Mohd Puad Zarkashi (BN-Batu Pahat) pula adalah bekas Senator di Dewan Negara dan terkenal sebagai pemidato yang bernas menyampaikan hujah. Ketua Umno Bahagian Batu Pahat itu menjadi aset kepada BN di Dewan Rakyat.

Tidak kurang juga aktivis masyarakat yang terpilih sebagai wakil rakyat pada pemilihan kali ini dan di kalangan mereka, Sivarasa (PKR-Subang) adalah antara yang terkenal. Beliau, yang juga seorang peguam, adalah pengasas bersama Suara Rakyat Malaysia (Suaram), pertubuhan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak asasi manusia.

Naib Presiden PKR itu pernah kehilangan suara selama hampir setahun berikutan rawatan barah kelenjar tiroid, tetapi kini sudah sembuh sepenuhnya dan suaranya dijangka kerap kedengaran di Dewan Rakyat selepas ini.

Didorong kesedaran bahawa BN terpaksa menghadapi asakan tokoh terkemuka Pakatan Rakyat, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi juga terpaksa membuat percaturan bijak bagi memilih anggota Kabinetnya supaya cukup berwibawa dan berani menangkis serangan pembangkang.

Antara menteri penuh baru seperti Menteri Penerangan, Datuk Ahmad Shabery Cheek (Kemaman); Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi, Datuk Shaziman Abu Mansor (Tampin) dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr S Subramaniam (Segamat) sudah pun membuktikan kewibawaan.

Mereka yang pernah memegang jawatan Timbalan Menteri dan Setiausaha Parlimen sebelum ini dilihat sebagai individu yang tenang tetapi tegas apabila menjawab sebarang persoalan pembangkang dan tidak mudah melatah apabila menghadapi asakan.

Rata-rata calon pembangkang yang menjadi ahli Dewan Rakyat kali ini sudah lama menjadi aktivis sosial dan beberapa kali bertanding dalam pilihan raya umum tetapi baru kali pertama menang. Justeru, sudah pasti mereka amat bersemangat.

Ini meletakkan wakil rakyat BN dalam keadaan sukar kerana tidak cukup dengan cabaran yang lebih hebat, mereka perlu menjaga tutur kata dan peradaban supaya tidak mengaibkan kerajaan. Pada hakikatnya, apa yang bakal berlaku apabila Dewan Rakyat mula bersidang Rabu ini memang sukar diramal. Meminjam kata-kata Pandikar Amin, “Kita perlu tunggu dan lihat”.

Yang jelas rakyat berpeluang melihat sendiri bagaimana wakil rakyat mereka berucap dan berbahas. Seperti diumumkan Ahmad Shabery baru-baru ini, sidang Dewan Rakyat akan disiar secara langsung selama 30 minit setiap hari menerusi RTM 1 mulai 30 April ini untuk tatapan rakyat.

Rencana di atas dipetik dari laman Web “Berita Harian”.


Actions

Information

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s




%d bloggers like this: